Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam sejahtera.
Yang Berbahagia Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, barisan kepimpinan universiti, para pensyarah, para ibu bapa dan keluarga, serta para graduan yang diraikan.
Sebagai Presiden Persatuan Alumni USM, atau lebih mesra dikenali sebagai PAUSM, saya amat berbangga dengan pencapaian anda. Anda kini telah menjadi sebahagian daripada keluarga besar alumni USM yang berwawasan, berdaya saing, dan membawa manfaat kepada masyarakat. PAUSM sentiasa menyokong perkembangan dan kemajuan graduan kita, serta menyediakan platform bagi alumni untuk terus berhubung, berkongsi pengalaman, dan memberi sumbangan kembali kepada masyarakat dan universiti.
Para graduan yang saya kasihi dan hormati,
Kejayaan anda hari ini bukanlah noktah, tetapi merupakan titik permulaan kepada cabaran dan peluang baru di masa hadapan. Dalam perjalanan selepas ini, ingatlah nilai-nilai yang telah anda pelajari di USM dan gunakanlah ilmu dan kemahiran tersebut untuk terus memberi impak positif kepada masyarakat dan negara. Kami di PAUSM akan sentiasa menyokong anda dan menjadi rakan dalam perjalanan kerjaya dan kehidupan anda.
Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan TAHNIAH dan SYABAS kepada anda semua. Semoga perjalanan hidup anda selepas ini penuh dengan kejayaan, keberkatan, dan makna. Teruslah melakar kecemerlangan dan membanggakan nama Universiti Sains Malaysia di persada dunia.
Sekian, terima kasih.